Tuesday, February 24

Sabah Negeri-KU di Bawah Bayu I



Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok
Sandakan

Pusat Pemuliharaan Orang Utan telah ditubuhkan pada tahun 1964 untuk memberikan pemulihan kepada anak orang utan yang terbiar. Kedudukannya yang terletak di kawasan seluas 4,300 hektar Hutan Simpan Kabili-Sepilok, pusat ini dibawah pentadbiran Jabatan Hidupan Liar Sabah telah menarik para pelancong dan penyelidik dan memberikan mereka peluang untuk melihat orang utan secara dekat di dalam habitat semula jadinya. Laluan berpapan akan membawa anda ke galeri tontonan dan pentas untuk memberikan makanan. Di sini anda boleh menyaksikan bagaimana haiwan ini diberikan susu dan pisang sebanyak dua kali sehari pada setiap pukul 10.00 pagi dan 3.00 petang oleh renjer. Semasa pemberian makanan, monyet berekor panjang juga turut datang ke kawasan itu.

Selain daripada matlamat utamanya iaitu pemulihan orang utan, usaha untuk mendidik masyarakat dari segi pemuliharaan, penyelidikan dan menyelamatkan spesies terancam yang lain umpamanya badak sumbu turut menjadi fokus di pusat ini.

Para pelawat ditegah daripada melalui laluan pejalan kaki. Meskipun ada di antara orang utan yang telah biasa dengan pelawat, akan tetapi anda ditegah daripada menyentuh haiwan ini. Haiwan ini secara semula jadinya amat pemalu dan lembut, namun begitu, ada sebahagiannya yang agak nakal lalu merampas kamera atau topi anda . Sekiranya hal tersebut berlaku, anda perlu memaklumkan kepada pihak renjer kerana anda tidak boleh menangkap sendiri haiwan seberat 200 paun ini.



Kepada anda yang sukakan cabaran, anda boleh mencuba laluan yang melintasi hutan paya bakau. Anda perlu memohon permit daripada pihak Jabatan Perhutanan terlebih dahulu sebelum melalui laluan sejauh 5 km yang melintasi kawasan Sepilok Laut. Anda juga boleh menggunakan bot secara ulang-alik atau menginap di chalet di dalam hutan melalui tempahan lebih awal.

Cara ke Sana

Sekiranya anda tidak menggunakan mana-mana perkhidmatan pelancongan, anda boleh menaiki bas atau teksi yang tersedia di bandar. Sandakan. Pengangkutan Syarikat Bas Jalan Labuk berlepas dari depan Majlis Perbandaran Sandakan or MPS bermula dari pukul 6.00 pagi ke atas. Tambang yang dikenakan ialah RM2.10 secara sehala, dan hanya akan berhenti di simpang yang menghala ke pusat itu. Anda perlu berjalan sejauh setengah km lagi ke dalam. Anda juga boleh menyewa teksi untuk perjalanan ulang-alik sekitar RM100.00 (boleh dirundingkan). Anggaran jarak antara bandar dengan pusat tersebut ialah sejauh 23 km.

Masa Dibuka
Pagar Keselamatan :

Setiap hari bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Kaunter Sambutan dan Tiket :
Setiap hari bermula pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.00 petang hingga 3.30 petang
Dewan Pameran :
Setiap hari (kecuali Jumaat) bermula 9.00pagi hingga 4.30 petang
Pusat :
Setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.00petang Jumaat - 9.00 pagi hingga 11.00 pagi, 2.00 petang hingga 4.00 petang




Yuran Kemasukan
Pemegang Mykad Dewasa RM 5.00 Di bawah 18 tahun RM 2.00Lain-lain Dewasa RM30.00 Di bawah 18 tahun RM15.00Penggunaan kamera, kamera perakam, telefon berkamera dsb. akan dikenakan bayaran RM10.00




Keterangan Lanjut
AlamatBatu 14,
Jalan Labuk WDT200,
9009 Sandakan Sabah
Tel: +6089531180
Faks: +6089 531189
E-mel : soutan@po.jaring.my
Laman Web: http://www.sabah.gov.my/jhl/






Tamu Mingguan Jalan GayaKota Kinabalu (Ibu Negeri)
Pada asalnya Jalan Gaya dikenali sebagai Jalan Bond. Jalan Gaya terletak di dalam Pusat Perniagaan Daerah Kota Kinabalu yang telah menjadi pusat perniagaan selama lebih seratus tahun. Kedai beratap nipah mungkin telah pupus akan tetapi di sini keluarga peniaga generasi lama masih menjalankan perniagaan mereka, mewariskan perniagaan mereka daripada ayah kepada anaknya.



Setiap pagi Ahad, laluan sepanjang Jalan Gaya akan ditutup kepada lalu lintas untuk memberi laluan kepada Tamu Jalan Gaya. Belilah apa sahaja barangan di bawah teduhnya pepohon dan payung besar, umpamanya sarung batik, buah-buahan dan bunga-bungaan, lukisan dan kraf, kasut, barangan antik dan cenderamata, kuih-muih, malah ada juga haiwan belaan dan herba!. Tempat ini menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikan sendiri keratan lintang masyarakat tempatan apabila keseluruhan keluarga keluar berseronok mengisi hujung minggu mereka di sini.


Pesta Jalan Gaya diadakan pada setiap hari Ahad bermula dari pukul 6.30 pagi sehingga pukul 1.00 tengah hari.


Cara ke Sana


Dengan berjalan kaki dari mana-mana di sekitar bandar raya atau menaiki pengangkutan awam ke pusat bandar.




Tanjung Simpang Mengayau - The Tip of Borneo

Kudat


Akhir-akhir ini dibangunkan untuk tujuan pelancongan, kawasan yang cukup dramatik ini menggambarkan penghujung barat laut tanah Borneo. Tanjung yang terletak di Semenanjung Kudat, kira-kira tiga jam setengah pemanduan atau sejauh 215 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu. Diterjemahkan sebagai ‘Simpang yang Berpanjangan’, Simpang Mengayau menjanjikan pemandangan memukau yang melepasi Laut China Selatan. Alam semula jadinya cukup mempesonakan dengan pecahan batuan pasir yang membentuk pusaran dan tetingkat. Anda juga dapat menyaksikan rumah api di Pulau Kalampunian.


Di sebelah kiri anda dapat menyaksikan Pantai Kalampunian, iaitu pantai yang tercantik di Kudat. Kesemua tarikan ini memerlukan sedikit tenaga kerana anda kena berjalan untuk pergi ke pancang bendera raksasa dan Glob dan akhirnya ke batuan singkapan granit. Turut tersedia gerai-gerai yang menjual minuman, cenderamata dan juga kemudahan tandas yang terletak di kawasan meletak kereta



Kemasukan percuma.

Cara Ke Sana (dari Kota Kinabalu)

Anda boleh menaiki teksi, memandu sendiri atau menggunakan khidmat ejen pelancongan tempatan.

Pacuan empat roda dan kereta salon berpermit diletak berdekatan Restoran India bertentangan dengan Klinik Kesihatan di Kampung Air, Bandaraya KK. Kenderaan pacuan empat roda boleh membawa antara 7 – 8 orang penumpang pada kadar RM20.00 - RM25.00 seorang secara ulang-alik, sementara kereta salon boleh membawa 4 orang penumpang dengan tambang RM240.00 secara ulang-alik.

Hubungi pihak penyewaan kereta setempat untuk bertanyakan tambang yang dikenakan.


Maklumat Tambahan

Lawatan balik hari ditawarkan oleh pengendali pelancongan tempatan. Kadar yang dikenakan sekitar RM 250.00 termasuk lawatan ke Ladang Madu Lebah di Kg. Gombizau, Kilang Gong di Kg. Sumangkap, lawatan ke Rumah panjang Rungus dan Tip of Borneo dengan penyediaan makan tengah hari.

Hubungi pengendali pelancongan tempatan untuk keterangan lanjut.


Sumber : SabahTourism.com

2 comments:

Syahmee + Entertainment said...

wow!
promote negeri sndiri nmpk
huhu!

suratni said...

jom join skali key..
ehe..skali skala,tapi memg best lohhh...
jom2!