Wednesday, March 4

Jawab, jangan tak jawab!: Saya digugurkan?'

IQRAM mahu mendapatkan kepastian daripada pihak produksi mengenai kedudukannya sebagai pengacara program Chopp!.

SEJAK kebelakangan ini, nama pelakon Iqram Dinzly cukup hangat dengan pelbagai cerita sensasi. Belum surut kisah cinta 'cover line' bersama pelakon Fouziah Gous, muncul pula gosip yang menyatakan Iqram kini sering buat perangai sejak wajah dan namanya semakin popular di media cetak mahupun elektronik.

Desas desus mengatakan disebabkan sikapnya yang tidak berdisiplin, Iqram bakal digugurkan dari mengacarakan program Chopp! di TV9. Bukan saja sikapnya yang semakin berubah sejak meniti kemanisan populariti, tetapi Iqram juga didakwa menggunakan statusnya sebagai selebriti untuk berbuat apa saja termasuk tidak mahu membayar selepas berhibur bersama-sama rakan di sebuah pusat karaoke.

Bukan bertujuan untuk memburuk-burukkan pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak ini tetapi di kalangan teman media, Iqram sudah tidak seperti pada awal kemunculannya. Apakah benar percikan glamor dan hubungan baiknya dengan ‘orang kuat’ stesen TV membuatkan Iqram semakin lupa asal usul?

Pun begitu, adalah tidak adil andai perkara ini tidak ditanyakan kepada empunya diri. Ketika dihubungi Hip, Isnin lalu, Iqram akui agak terkejut dengan dakwaan terbaru itu. Dia menafikan dirinya berubah akibat populariti atas alasan perkataan popular itu sebenarnya masih lagi jauh untuk dicapai.

Hip: Betulkah Iqram akan digugurkan dari menjadi pengacara program Chopp! angkara masalah disiplin?

Iqram: (terkejut) Setakat ini, memang saya tak ada dengar pun cerita yang kononnya saya akan digugurkan dari mengacarakan program Chopp! Apatah lagi dakwaan saya digugurkan kerana masalah disiplin. Apa yang saya tahu, sepanjang mengacarakan program itu sejak Januari lalu, saya memberikan komitmen yang jitu untuk program itu. Cuma saya tak nafikan yang saya pernah lambat hadir ke lokasi penggambaran. Itu pun kerana saya terbabit dengan penggambaran drama lain. Waktu itu, saya akui menang terkejar-kejar dari Ampang ke Bandar Utama. Tapi tak boleh salahkan saya sepenuhnya kerana sebagai pelakon, ada kalanya saya berdepan dengan masalah yang tidak dapat dielakkan. Sebagai contoh, jadual lakonan walaupun sudah ditetapkan tetapi kita tak tahu masalah lain yang mungkin boleh berlaku. Kadang-kadang jadual lakonan lari kerana masalah teknikal dan sebagainya. Berbalik kepada isu digugurkan, terus terang saya memang tidak dimaklumkan mengenai hal itu.

Hip: Apakah Iqram akan bertemu dengan pihak produksi untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini?

Iqram: Sebenarnya saya sendiri keliru dengan perkara ini kerana apa saja cerita buruk mengenai saya, pasti saya akan dengar dari mulut orang lain. Apabila berdepan, mereka tidak pernah membangkitkan apa-apa isu mengenai saya. Lagi pun, macam mana nak kata saya digugurkan sedangkan saya tidak pernah menandatangani sebarang kontrak dengan mereka. Bukan mereka tak sediakan kontrak tetapi ada beberapa perkara yang saya tak puas hati dan meminta mereka untuk mengkaji semula isi kandung kontrak itu. Beginilah, saya sebenarnya tahu apa yang berlaku di sebalik cerita yang ditimbulkan ini cuma saya tak mahu menuding jari kerana itu bukan cara saya. Biarlah mereka hendak kata apa saja asalkan saya tahu cerita sebenar di sebalik peristiwa itu. Buat masa ini, biarlah saya letakkan segala kesalahan itu di bahu saya.

Hip: Apakah ini bermakna Iqram menjadi mangsa keadaan atau disabotaj oleh pihak tertentu?

Iqram: Saya ini lebih suka perhatikan kelemahan sendiri daripada hendak meletakkan kesalahan itu pada orang lain. Dalam hal ini saya tak mahu menyalahkan sesiapa dan kalau boleh, biarlah saya bertanyakan dulu kepada pihak produksi kebenaran perkara ini. Saya tidak mahu tersalah memberi komen bimbang ia berlanjutan. Kalau mungkin ada masalah, biarlah perkara itu diselesaikan secara dalaman tanpa membabitkan pihak luar.

Hip: Ada suara nakal yang menyatakan Iqram bertindak begini kerana mempunyai hubungan rapat dengan pihak tertentu.

Iqram: Terus terang, kejayaan yang saya capai hari ini semuanya adalah atas usaha saya sendiri dan bukannya kerana saya baik dengan orang itu dan ini. Sejak mula membabitkan diri dalam bidang ini, saya lebih senang mengamalkan sikap mempunyai hubungan sama rata dengan semua pihak. Saya tak pernah pilih kasih dan menghormati semua pihak seadanya. Jadi bila ada orang kata, saya gunakan keistimewaan mempunyai hubungan baik dengan orang tertentu untuk bersikap demanding, itu adalah satu andaian yang silap.

Hip: Bagaimana pula dengan gosip yang mengatakan Iqram berhibur di pusat karaoke tapi tak mahu bayar?

Iqram: Itu memang melucukan. Sepanjang yang saya ingat, kalau saya berhibur di mana-mana pusat karaoke, saya akan bayar. Saya tak pernah guna status selebriti ini untuk kepentingan diri sendiri. Status selebriti, pada saya bukanlah satu tiket untuk berbuat apa saja yang kita suka. Lagipun, saya bukanlah ‘sengkek’ sangat sampai tahap seperti itu. Pada saya gosip itu memang kelakar dan tidak benar sama sekali.

Hip: Wajah Iqram sebelum ini banyak keluar dalam majalah, surat khabar dan lakonan pun kerap disiarkan di kaca televisyen. Namun persoalannya, Iqram gagal menembusi pencalonan Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008. Boleh komen sikit?

Iqram: Popular ke saya? Sebagai orang baru, saya tidak melihat diri saya begitu popular seperti yang dikatakan. Perjalanan saya masih jauh lagi. Mungkin rezeki saya bukan untuk tahun ini, tetapi untuk yang akan datang. Siapa tahukan? Pun begitu, saya bersyukur kerana banyak muka baru yang dapat masuk senarai Top 5 kali ini, dan sebagai pelakon generasi baru, saya bangga dengan situasi itu. Bagi saya, setakat orang kenal dan tahu kewujudan saya, itu sudah memadai. Dan lebih menggembirakan, sejak menceburkan diri dalam bidang ini dan mengecap nikmat populariti, hubungan saya dengan rakan sekolah yang terpisah kembali terjalin.

Sumber : Berita Harian

No comments: