Monday, March 30

Pengkomputeran maya dimensi baru ICT


Pengkomputeran maya boleh berkembang dengan syarat makin ramai rakyat celik komputer. - Gambar hiasan

Kebiasaannya komputer yang kita gunakan adalah bertujuan untuk melakukan sesuatu fungsi tertentu yang mana penggunaan sistem pengoperasian seperti Windows atau Linux akan mengehadkan fungsi tersebut.

Pada masa sama, hanya satu sistem pengoperasian sahaja yang boleh berfungsi dalam mengendalikan sesuatu tugasan tersebut.

Kini dengan adanya teknologi pengkomputeran maya, sebuah komputer peribadi (PC) atau komputer pelayan dapat menjalankan beberapa sistem pengoperasian secara serentak dengan fungsi tugas yang berlainan bagi setiap sistem pengoperasian itu seperti untuk pelayan e-mel, pelayan web, pelayan fail, pelayan anti-virus dan lain-lain.

Pengkomputeran maya membenarkan pengguna komputer mencapai proses-proses tertentu atau aplikasi - aplikasi perisian tertentu secara jarak jauh apabila ia diperlukan.

Pengguna beroleh capaian tersebut menerusi teknologi Internet.

Bagaimanapun, pengguna perlu mempertingkatkan keupayaan komputer peribadi yang digunakan dari segi kelajuan pemprosesan, saiz memori, saiz cakera keras dan lain - lain bagi mendapatkan hasil yang baik dalam penggunaan teknologi ini.

Teknologi berorientasikan masa nyata ini mengandungi beberapa bahagian seperti sistem pengoperasian dan utiliti, tempat simpanan, memori, perisian dan sebagainya.

Kini konsep pengkomputeran maya ini mula digunakan untuk tujuan peminjaman ruang atau tempat simpanan secara digital di dalam sesebuah komputer pelayan untuk simpanan data-data, perisian-perisian, sistem pengoperasian dan sistem utiliti.

Kebanyakan syarikat korporat di dunia menggunakan kaedah ini untuk penjimatan kos dan ruang fizikal dalam merencana infrastruktur teknologi maklumat kerana dengan menggunakan sebuah komputer pelayan, ia dapat melarikan pelbagai kemudahan atau.

Terdapat banyak syarikat-syarikat gergasi pembekal teknologi maklumat di dunia seperti Hewlett-Packard, IBM, Microsoft, Sun dan lain-lain menyediakan perkhidmatan pengkomputeran maya ini sama ada dari segi keperluan perisiannya atau perkakasannya.

Penggunaan perisian-perisian pengkomputeran maya ini perlu dilihat dari segi kesesuaian perkakasan dan sistem komputer yang akan digunakan sebagai pelantarnya.

Sumber-sumber bagi sebuah sistem komputer seperti keupayaan memori, cip pemprosesan dan kapasiti cakera keras perlu dikaji terlebih dahulu agar sistem komputer tersebut menyokong penggunaan perisian pengkomputeran maya ini.

Sebagai contoh aplikasi Microsoft Virtual PC memerlukan sekurang-kurangnya kelajuan cip pemprosesan sebanyak 1 Ghz, 512 Mb kapasiti memorinya, 20 Mb ruang kosong di dalam cakera dan sistem pengoperasian Microsoft Windows XP.

Selain daripada Microsoft Virtual PC, terdapat lagi beberapa perisian pengkomputeran maya yang berasaskan bisnes di pasaran seperti VMWare dan Parallels.

Terdapat juga perisian-perisian pengkomputeran maya ini yang berasaskan sumber terbuka seperti Virtual Box, Qemu, FreeVPS dan Xen.

Namun demikian Xen merupakan menyediakan penyelesaian secara sumber terbuka tetapi ia disokong oleh organisasi yang berasaskan keuntungan iaitu Xensource.

Perisian Virtualbox boleh dimuat turun secara percuma di http://www.virtualbox.org..

Terdapat pelbagai kelebihan dalam penggunaan pengkomputeran maya ini.

Ia bergantung kepada reka bentuk, keperluan, kos dan persekitaran bagi sesebuah infrastruktur teknologi maklumat dalam sebuah organisasi.

Di samping itu terdapat juga beberapa kelemahannya seperti menyebabkan masalah masa dan penggunaan pekerja yang mahir kerana sebuah komputer pelayan perlu melarikan banyak sistem pengoperasian dan aplikasi-aplikasi tertentu.

Seterusnya isu keselamatan juga perlu dititikberatkan sama seperti situasi biasa dengan melakukan pengamatan dan sistem tembok api yang baik.

Begitu juga masalah pelesenan terhadap aplikasi-aplikasi yang digunakan juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Namun demikian, hari ini dan masa yang akan mendatang penggunaan pengkomputeran maya ini bagi infrastruktur teknologi maklumat semakin penting dan popular digunakan di kalangan syarikat-syarikat korporat yang besar.

Kajian juga dibuat dengan penggabungan teknologi pengkomputeran grid bagi meningkatkan lagi prestasi penggunaan sumber-sumber yang ada di dalam komputer.

Perancangan yang strategik dan bestari dalam merangka penggunaannya dalam infrastruktur teknologi maklumat amat penting agar ia dapat memberi pulangan yang baik kepada syarikat atau penggunaannya.

l FIRKHAN ALI HAMID ALI ialah

Pensyarah di Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia, Universiti Tun Hussein Onn

Malaysia (UTHM).

Sumber : Utusan Malaysia

No comments: